Malaysia mempunyai ramai pemain muda yang berbakat. Kebanyakan pemain yang berusia bawah 15 tahun memiliki skill yang cukup baik sehingga mampu membantu pasukan mencatat kemenangan ketika menentang pasukan dari luar negara.

Masalah pemain kita bermula di usia 16-17 tahun di mana otot mula berubah dari peringkat remaja ke dewasa. Selain itu, stamina atau Strength & Conditioning mereka tidak berada pada tahap optimum.

Di sini kita mula ketinggalan dari segi fizikal untuk bersaing dengan pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan negara teluk arab. Diet dan pemakanan yang tepat memainkan peranan utama untuk mengatasi masalah ini.

Justeru itu, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah naik taraf kafeteria mereka bermula 1 November 2021 untuk meningkatkan mutu penyajian makanan dan memastikan setiap makanan yang diberikan kepada pelatih mempunyai nutrisi yang tinggi dan berkhasiat.

Menurut kenyataan rasmi, perkhidmatan kafeteria itu telah diuruskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Langkah ini adalah selari bagi menjadikan AMD sebagai sebuah Akademi Bola Sepak yang bertaraf dunia.

“Kafeteria AMD kini diuruskan oleh kakitangan sepenuh masa MSN yang terdiri daripada 1 orang Pegawai Pemakanan, 1 orang Chef, 7 tukang masak, 5 orang pembantu tukang masak serta beberapa 2 orang kakitangan sokongan yang lain. Kafeteria di AMD kini adalah setaraf dengan kemudahan kafeteria yang ada di Kompleks MSN Bukit Jalil.

“Selain itu juga, sajian makanan di AMD setiap hari juga turut ditambah baik bagi menjadikan ianya lebih berkhasiat serta mempunyai kandungan nutrien yang terbaik yang sesuai untuk tumbesaran setiap pelatih,” tulis kenyataan rasmi.

Pemain masa kini terdedah pada pelbagai jenis makanan tak sihat hingga melemahkan tubuh badan mereka sendiri. Kita sedia maklum ketika di zaman lagenda bola sepak negara (Mokhtar Dahari), tiada restoran mamak serta kedai tomyam hingga larut malam.

Sumber makanan yang diambil oleh arwah Mokhtar Dahari adalah di sekitar rumahnya seperti ayam, telur serta sayur-sayuran yang tumbuh merata. Beliau jarang mengambil makanan tidak sihat seperti fast food. Tidak hairanlah fizikal SuperMokh dilihat lebih sasa dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menjadi tugas AMD selaku akademi bola sepak negara untuk memastikan keadaan fizikal pemain muda kita lebih baik agar setanding dengan pemain antarabangsa lain dan juga menyiapkan mereka untuk mewakili skuad Harimau Malaya di masa depan.

Selain amalan diet pemakanan yang betul, perubahan fizikal pemain juga perlu dibantu dengan hasil latihan angkat beban dan senaman yang lebih kerap.

Baca artikel lain mengenai diet pemakanan pemain bola sepak melalui pautan dibawah.

Diet Paleo Serta Latihan Beban Bantu Pemain Tempatan Ini Ubah Fizikal Jadi Lebih Sasa

Tak Ikut Diet Pemakanan Yang Ditetapkan, Shin Tae-yong Pulas Telinga Pemain Indonesia

Perubahan Fizikal Shahrel Fikri Curi Tumpuan Peminat Bola Sepak Tempatan